Lapangan Terbang Erbil yang menjadi sasaran terbaharu dron. foto Agensi

BAGHDAD – Dron yang penuh dengan bahan letupan menyerang lapangan terbang antarabangsa di bandar Erbil utara Iraq lewat hari Selasa.

Lokasi serangan itu berhampiran dengan konsulat Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa Kurdish.

Serangan itu berlaku pada sekitar 1930 GMT tetapi tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan besar.

Lapangan terbang di Erbil, yang menempatkan markas tentera gabungan antarabangsa yang memerangi kumpulan Daesh, juga disasarkan pada bulan April dengan dron yang dipenuhi bahan letupan.

Sejak awal tahun ini, puluhan serangan telah mensasarkan kepentingan Amerika Syarikat (AS) di negara ini, yang mana 2,500 tentera AS dikerahkan sebagai sebahagian daripada gabungan itu.

Pada Isnin lalu, pasukan AS menembak jatuh dron bersenjata di atas kedutaan negara itu di Baghdad.

Beberapa jam sebelumnya, tiga roket telah mensasarkan pangkalan udara di gurun barat Iraq yang juga menempatkan tentera AS.

AS baru-baru ini menawarkan hingga AS$ 3 juta untuk maklumat mengenai serangan yang mensasarkan kepentingannya di Iraq. – MalaysiaGazette