Salah seorang penerima vaksin menerima suntikan di PPV Pandu Lalu UMSKAL..

LABUAN –Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu (Drive Thru) di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mula beroperasi semalam
membabitkan pemberian vaksin dos kedua.

Pengarah UMSKAL Profesor Dr Jualang Azlan Gansau berkata, operasi PPV secara pandu lalu itu akan dilaksanakan sehingga tamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan namun bergantung kepada arahan semasa.

“PPV ini akan dijalankan di sekitar perkarangan UMSKAL dan ia merupakan hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan dan UMSKAL sendiri.

“Seramai 20 petugas kesihatan termasuk dua Jururawat Klinik Rawatan Warga Kampus
Antarabangsa Labuan selain beberapa lagi sukarelawan MyVac dan sukarelawan komuniti
akan membantu menjayakan PPV secara pandu lalu ini,” katanya.

Dr Jualang berkata, PPV secara pandu lalu ini hanya melibatkan pemberian vaksin dos kedua bagi membantu mengurangkan kesesakan di PPV awam yang lain dengan kapasiti
pemberian sebanyak 800 hingga 1,000 orang sehari.

“Dua orang Jururawat dari Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan akan
bertugas sebagai ‘vaccinator’ selain seorang doktor dan seorang pembantu pegawai
perubatan turut membantu secara berkala,” katanya.

Pra-pelancaran PPV secara pandu lalu itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Sementara itu, Dr Ismuni ketika ditemui media memberitahu, kemudahan PPV Pandu Lalu di UMSKAL itu merupakan PPV ketujuh di Labuan dan yang pertama disediakan secara pandu lalu bagi memudahkan penerima vaksin menerima suntikan.

Katanya, usaha ini membolehkan sasaran 80% penduduk berumur 18 tahun ke atas
menerima vaksin dapat dicapai menjelang bulan Ogos ini sekaligus membantu Labuan
menjadi kawasan yang pertama mencapai imuniti kelompok di negara ini.

“Pihak jabatan beserta JPBD merakamkan penghargaan kepada UMS di atas persetujuan
menggunakan fasiliti di sini bagi tujuan PPV secara pandu lalu agar pemberian vaksin dapat dijalankan lebih teratur dan kemas,” ujar beliau. – MalaysiaGazette