Presiden Haiti, Jovenel Moise ditembak mati hari ini.-Gambar agensi.

PORT-AU-PRINCE – Presiden Haiti, Jovenel Moise terbunuh dalam satu serangan mengejut yang berlaku dalam kediaman rasminya di Port-au-Prince hari ini.

Perdana Menteri interim negara itu, Claude Joseph mengesahkan insiden berkenaan dalam kenyataan rasminya.

Kediaman presiden dipercayai diserang oleh sekumpulan individu bersenjata tidak dikenali sekitar jam 1 pagi dan menembak mati presiden, katanya.

Satu laman berita Juno 7 News melaporkan Moise dibunuh selepas sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bertutur dalam bahasa Sepanyol memecah masuk kediamannya.

Dalam kejadian itu, wanita pertama Haiti turut dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan itu dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Negara Caribbean itu dilanda krisis politik dan kemiskinan teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan ratusan orang berarak di ibu kota Port-au-Prince pada Februari mendesak kerajaan membuka laluan kepada pilihan raya.

Negara itu dikatakan derita untuk membangun semula sejak gempa bumi melanda pada tahun 2010 dan bencana ribut dan banjir pada tahun 2016.

Pada Februari lalu, Mose mendakwa menjadi sasaran pembunuhan namun ia berjaya dipatahkan oleh polis negara itu.- MalaysiaGazette