Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon

JOHOR BAHRU –  Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon tidak menyesal meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu.

Beliau berpendapat, keputusan yang diambilnya itu bukannya pengkhianatan tetapi menjurus untuk berkhidmat dengan lebih baik sebagai wakil rakyat kerajaan.

“Fokus saya ketika ini adalah untuk melakukan yang terbaik membantu penduduk di Parlimen Tebrau. Saya telah buat keputusan (menyokong Perdana Menteri), saya tidak pernah menyesal.

“Ini kerana saya boleh melakukan lebih banyak lagi kerja dan itu yang akan saya teruskan.

“Hal berkaitan politik itu permainan pihak atasan, jadi biar mereka yang tentukan hala tuju parti masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan di Surau An-Nur, Taman Daya, di sini.

Pada 28 Februari lalu, Steven mengiytiharkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

Steven tidak kisah gelaran pengkhianat yang diberikan PKR kepadanya kerana merasakan telah mengambil keputusan betul untuk masyarakat.

“Mereka (PKR) nak panggil saya pengkhianat, saya tiada komen berhubung perkara itu. Tetapi adakah saya mengkhianati mandat diberikan pengundi, biar pengundi tentukan.

“Kalau selepas saya menyokong Perdana Menteri kemudian saya tidur, itu bagi saya baharulah satu pengkhianatan kepada pengundi,” ujarnya.

Mengulas mengenai kempen ‘Pecat atau Kekal’ yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan Bersih 2.0 yang memilihnya sebagai calon pertama kempen berkenaan, Steven berkata, beliau tiada menghadapi masalah selagi tidak melanggar undang-undang.

“Tiada sebab untuk saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tebrau, saya akan terus berkhidmat sepanjang tempoh lantikan sebagai seorang wakil rakyat dan apabila tiba pilihan raya umum akan datang, pengundi yang mempunyai hak untuk memilih,” katanya. – MalaysiaGazette