Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sepakat untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menerajui negara ketika ini.

Sokongan juga diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan agenda rakyat terus terbela terutamanya ketika era mencabar pandemik ini.

Kesepakatan itu dinyatakan dalam satu kenyataan petang ini.

Kenyataan itu juga menyebut pendirian mereka berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.

“Apa yang menjadi keutamaan Ahli-ahli Parlimen pada waktu ini adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN), dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum Pandemik COVID-19.

“Dalam keadaan negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik,” kata kenyataan tersebut.

MalaysiaGazette menghubungi beberapa ahli Parlimen untuk mengesahkan kesahihan kenyataan tanpa logo Barisan Nasional itu, namun masih menunggu maklum balas mereka.

Beberapa jam lepas, dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Ahli-ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian semasa sidang Parlimen kelak.

“Namun, difahami bahawa semua keputusan parti mestilah dijadikan panduan oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Awal pagi tadi selepas bermesyuarat hampir lima jam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini mengumumkan parti itu menarik balik sokongannya kepada Muhyiddin serta-merta atas alasan kerajaan gagal dalam tugasnya termasuk menangani wabak COVID-19. -MalaysiaGazette