Andre Silva.

KUALA LUMPUR – Penyerang Portugal, Andre Silva sah meninggalkan Eintracht Frankfurt untuk menyertai sebuah lagi kelab Bundesliga, RB Leipzig dengan nilai perpindahan RM79 juta menerusi kontrak lima tahun.

Musim lalu, penyerang berusia 25 tahun itu mencuri tumpuan selepas menjaringkan 28 gol dalam 32 perlawanan Bundesliga.

Dia telah menjaringkan ke atas 15 dari 17 pasukan lawannya di Bundesliga dan hanya dua pasukan yang tidak ditembusi iaitu juara dan naib juara liga iaitu Bayern dan pasukan baharunya Leipzig.

Silva berdepan dengan turun naik dalam kariernya seelepas cemerlang FC Porto di permulaan awal karier profesionalnya.

Dia berhijrah ke AC Milan pada 2017 dengan yuran perpindahan €38 juta dan mengikat kontrak selama lima tahun.

Jersi nombor 9 yang diberikan kepadanya menunjukkan harapan menggunung tinggi diletak di atas bahunya, namun keberadaannya di San Siro serba tidak menjadi.

Dia kemudian telah dipinjamkan Sevilla pada musim berikutnya dan masih bergelut untuk membuktikan keupayaan sebenar yang dimiliki.

Berkat kesabaran yang dimiliki, Eintracht Frankfurt akhirnya menjadi penyelamat kepada kariernya selepas dia menyerlah dengan menjaringkan 45 gol dari 71 perlawanan dalam semua pertandingan.

Silva membuat tiga penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal di Euro 2020 dan membantu pasukannya mara sehingga peringkat 16 terakhir.

Jesse Marsch yang menggantikan Julian Nagelsmann juga telah membawa masuk Josko Gvardiol, Mohamed Simakan dan Brian Brobbey bagi membentuk wajah baharu Leipzig. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast