Gambar hiasan

PELBAGAI stresor atau punca stres telah timbul secara langsung mahupun tidak langsung rentetan penularan Covid-19. Pandemik itu sendiri boleh mencetuskan rasa bimbang dan kerisauan ditambah lagi kebimbangan kepada keselamatan dan kesihatan saudara mara atau kenalan rapat sendiri.

Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai tindakan untuk membendung penularan virus Covid-19 dari terus merebak tanpa kawalan dan membahayakan nyawa rakyat. Pada masa yang sama, fenomena emosi luar kawalan, serta kesannya terhadap kesihatan mental, juga perlu diakui dan ditangani.

Langkah pengawalan dan pencegahan pandemik juga boleh menjadi punca stres apabila aktiviti harian berubah dan pergerakan fizikal tidak lagi sebebas dahulu. Salah satu tindak balas psikologikal yang mungkin berlaku akibat pendedahan kepada stresor ialah perubahan emosi.

Rakyat yang tinggal di rumah, anak-anak yang belajar di depan skrin komputer hilang sumber keseronokan daripada interaksi sosial dengan kawan-kawan sekelas, petugas barisan hadapan yang menjadi benteng utama kesihatan negara mengalami peningkatan risiko kecelaruan mental akibat bebanan kerja yang meningkat mendadak, peniaga yang terpaksa menutup perniagaan menanggung beban emosi yang tidak sedikit.

Pasang surut emosi, dalam keadaan biasa, adalah sesuatu yang normal. Namun, dalam menghadapi pandemik, emosi boleh bergelora secara luar biasa dan menjejaskan rentak hidup seharian dan perubahan-perubahan emosi yang ketara perlu diperhatikan.

Jika kesedihan dirasai pada kadar dan tempoh yang lebih daripada biasa, ia mungkin telah berada di luar kawalan. Kegembiraan yang tidak ketahuan sebabnya juga perlu dikhuatiri.

Ketiadaan emosi juga boleh dianggap sebagai hilangnya kawalan emosi. Anhedonia iaitu kehilangan perasaan seronok atau kegembiraan dianggap sebagai satu simptom kemurungan dan kecelaruan mental.

Mereka yang mengalami anhedonia tidak lagi mendapat nikmat atau kemanisan daripada aktiviti sosial mahupun fizikal. Aktiviti yang mereka selalu lakukan dan nikmati akan beransur-ansur ditinggalkan.

Perubahan emosi perlu disiasat dan dikawal sebelum ia menjadi kecelaruan seperti kemurungan dan kegelisahan (anxiety). Jika dibiarkan, simptom yang dialami boleh menjadi lebih teruk dan melarat.

Antara langkah awal yang boleh diambil ialah menjalankan ujian saringan. Terdapat ujian saringan kesihatan mental seperti DASS (Depression, Anxiety and Stress Scale) yang ditawarkan secara percuma dalam talian oleh agensi-agensi kerajaan.

Hasil keputusan saringan boleh memberi maklumat awal tentang keperluan mendapatkan pandangan doktor, ahli psikologi klinikal atau psikiatris. Hasil saringan ini juga boleh dibincangkan dengan individu yang berkelayakan tanpa perlu memberi komitmen mengikuti rawatan.

Sebagai contoh, talian sokongan psikososial seperti yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Mercy Malaysia boleh dihubungi untuk berbual dengan petugas yang terlatih.

Apapun keputusan yang dibuat, DASS tidak sesuai digunakan untuk melakukan diagnosis terhadap diri sendiri. Jika diagnosis tidak dibuat secara profesional, kemungkinan akan timbul stigma kendiri yang memburukkan lagi keadaan.

Bagi individu muslim, keimanan dan kefahaman agama yang tinggi boleh menjadi pendinding terhadap gangguan emosi. Kebergantungan terhadap Allah swt berfungsi sebagai sumber kekuatan dalaman yang penting untuk meringankan kesan stresor. Amalan-amalan keagamaan seperti zikir, doa, dan membaca kitab suci diakui profesion psikologi sebagai intervensi yang berguna untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan psikologikal.

Dalam menghadapi pandemik, mengawal emosi bukan satu tugas mudah, tapi ia tidak pula mustahil. Kita boleh jaga penjarakan fizikal. Kita juga boleh jaga kestabilan emosi.

 

Dr Harris Shah Abd Hamid
Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan & Kaunseling,
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya