SHAH ALAM – Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras berjaya mematahkan kegiatan sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai bernilai kira-kira RM1.65 juta di sebuah kawasan industri kecil di Klang, semalam.
Dalam serbuan itu, lapan lelaki iaitu tiga rakyat tempatan dan lima warga asing sedang melakukan kerja memunggah kotak minuman keras itu dari tiga lori, sebuah van dan sebuah kereta ke premis yang dipercayai stor.
Menurut Komander Briged Tengah PGA Cheras, SAC Muhammad Abdul Halim, bertindak hasil maklumat orang awam, sepasukan anggotanya melakukan serbuan di lokasi itu menerusi Op Contraband.
Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah PGA pada jam 8.55 pagi semalam, di sebuah premis di Jalan Sellathevan, Kampung Sungai Kandis, dekat Klang, Selangor.
“Dalam serbuan itu anggota PGA telah menahan lapan lelaki iaitu tiga warga tempatan dan lima warga asing dari Bangladesh yang berusia antara 25 hingga 57 tahun.
“Serbuan itu membawa kepada rampasan sebanyak 2,130 kotak minuman keras disyaki tidak bercukai dan beberapa kenderaan yang digunakan dalam modus operandi penyeludupan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Balai Polis (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.
Turut bersama, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Menurut Muhammad, rampasan minuman keras itu melibatkan 600 kotak arak jenama Huster berkotak hitam, 200 kotak Huster berkotak biru, 880 kotak Tsingtao 330ml, 450 kotak Tsingtao 600ml, sebuah lori 10 tan, dua lori tiga tan, sebuah van dan sebuah kereta.
Beliau percaya sindiket itu menggunakan atau menyewa kenderaan perdagangan yang berdaftar secara sah untuk melakukan aktiviti penyeludupan itu bagi mengelirukan pihak berkuasa.
“Semua suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan, termasuk untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap rangkaian sindiket itu.
“Serbuan ini berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Lembah Klang dan dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Kumpulan ini dipercayai menggunakan sebuah premis di kawasan industri kecil sebagai stor penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
Muhammad mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat itu, dan menyeru mereka untuk terus memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam membanteraskan aktiviti menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette