PUTRAJAYA – Penarikan balik sokongan UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh diibaratkan Perdana Menteri itu kini sudah kehilangan sebelah kaki.
Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Marzuki Yahaya berkata, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan penarikan itu juga disifatkan berlakunya kepincangan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau kita nak lihat dari segi teknikalnya Perdana Menteri hari ini ibarat hilang sebelah kaki. Ia kerana kepincangan dari segi kerjasama yang ada dalam PN. Apa yang saya lihat bahawa ini adalah satu krisis politik yang tidak pernah ada hentinya.
“Kita lihat hari ini semenjak kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang ini mendirikan kerajaan, tumpuan kerajaan hari ini adalah lebih tertumpu kepada masalah politik, perebutan kuasa dan siapa yang nak jadi perdana menteri dan tubuh kerajaan sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya kepada media hari ini.
Marzuki hadir di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bersama-sama Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah untuk mengambil sijil kelulusan parti hari ini.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, rakyat perlu sedar pada masa ini bukan waktu sesuai untuk menjadi pendorong kepada mana-mana parti politik.
“Parti bukan boleh menentukan nasib bangun rakyat. Ini bukan waktu pilihannya,” jelas Marzuki.
Awal Khamis lalu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.
Ditanya mengenai cadangan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN), Marzuki berkata, pihaknya sanggup untuk melepaskan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetuai MPN sekiranya ia ditubuhkan.
“Kami dalam Pejuang telah membuat keputusan untuk menamakan Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi MPN tetapi sebagaimana yang disoalkan kepada kita, kalau itulah menjadi satu masalah sekiranya Tun Mahathir tidak dapat dipilih untuk menjadi pengerusi MPN oleh kerana beliau sebagai pengerusi, saya ulangi keutamaan kita adalah bukan parti, kita utamakan negara.
“Pejuang lebih merelakan Tun Mahathir berbakti kepada negara, kalaulah kerana jawatan pengerusi Pejuang menjadi penghalang buat peluang beliau untuk meneruskan perjuangan. Tun Mahathir belum dilantik lagi sebagai pengerusi MPN belum dibincang lagi,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Mahathir mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara bagi menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, penubuhan majlis itu bukan untuk menggantikan kerajaan sebaliknya membantu mengurangkan kes Covid-19 sehingga negara mencapai imuniti kelompok.
Majlis terbabit juga kata Mahathir akan memberi tumpuan kepada kemerosotan ekonomi serta kewangan selain isu berkaitan pendidikan. – MalaysiaGazette
siapa kau nk cakap tsmy mcm tu. kau tu ada ke jasa dengan rakyat … , boleh ke kau memimpin rakyat masa susah ni .. sembang kari la kau ni
Siang malam PM bekerja utk rakyatnya, tiba-tiba kau merepek macam orang gila dan buta mata bercakap PM x buat apa-apa?memang kalau dah pembangkang tu,macam tu la mentaliti nya..