Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri diyakini dapat mengukuhkan hubungan yang sedia renggang antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pelantikan itu signifikan dengan keadaan politik dan pentadbiran kerajaan hari ini selain MenteriPertahanan itu mempunyai hubungan baik dengan semua kepimpinan parti.

“Pada saya, dia layak untuk mendapat penghargaan meluas dengan jawatan itu walaupun pelantikannya dibuat ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada atas katil hospital.

“Secara peribadi saya rasa pelantikan ini signifikan dan tepat. Kita tahu Bersatu adalah sekutu kuat UMNO dan dengan melantikan Ismal Sabri, pemimpin kanan UMNO akan mengukuhkan hubungan semua parti dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pelantikan itu juga isyarat jelas bakal menduduki kerusi Perdana Menteri ialah Ismail Sabri bukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, UMNO yang sebelum ini menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri terpaksa menerima hakikat  Ismail Sabri adalah de facto yang mempunyai sokongan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan juga UMNO.

Walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal Presiden UMNO untuk tempoh 18 bulan lagi dari sekarang, tetapi beliau tidak mempunyai kuasa dan kudrat dari menghalang Ahli Parlimen Bera itu menaiki tangga hingga ke jawatan nombor dua kerajaan.

“Paling terkesan dengan pelantikan itu ialah Pakatan Harapan (PH) yang terpaksa bekerja keras untuk menarik sokongan rakyat bagi mendapat majoriti kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

“PH juga pada saya, perlu lebih banyak menampilkan muka baru yang boleh memenangi hati rakyat termasuklah DAP menonjolkan beberapa pemimpin mudanya ke depan,” katanya. – MalaysiaGazette