Amirudin Shari

SEPANG – Penutupan keseluruhan sektor ekonomi tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, sekiranya penutupan secara total ingin dilaksanakan ia perlu disokong dengan alasan yang kukuh.

“Ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru, kalau nak laksanakan kena ada alasan yang penuh dan kukuh bukan alasan ekonomi sahaja.

“Kita kena tengok jangkitan kes berapa banyak, vaksinasi berapa banyak, kalau mereka dah divaksin dan mereka boleh bekerja itu juga merupakan solusinya,” katanya ketika sidang media selepas meninjau ke kawasan PKPD di Taman Murni di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penutupan penuh sektor ekonomi dan industri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim di Selangor sehingga 16 Julai ini.

Semalam Selangor mencatatkan sebanyak 4,152 kes positif Covid-19 diikuti Kuala Lumpur 1,133 kes dan Perak sebanyak 543 kes.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga telah mengemukakan cadangan dan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan pembukaan sektor ekonomi benar-benar perlu sahaja ketika pelaksanaan PKPD.

“Ya semalam kita bincang dan setiap cadangan yang dikemukakan itu kita akan pertimbangkan.

“Sebagai contoh semalam apabila dibincangkan mengenai sektor elektronik dan elektrik (E&E), alasannya sebab Malaysia merupakan rantaian utama di dunia. Kalau E&E kita tersangkut, maka the whole chain perniagaan E&E juga tersangkut, kita kena ambil kira begitu.

“Selangor merupakan nadi ekonomi negara, kita sumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kalau kita berhenti kemungkinan KDNK kita akan tergugat dan terganggu,” katanya.

Amirudin juga berkata ketika ini hanya sektor industri tertentu sahaja berkaitan makanan dan minuman dibenarkan untuk beroperasi.

“Tapi yang lain-lain itu, kita harus rujuk kepada MKN.

“Ramai orang tanya kenapa selepas beberapa hari PKPD tidak nampak penurunan kes dan kes makin bertambah, immediate effect kita belum boleh nampak lagi, ini (PKPD) merupakan salah satu solusi untuk menangani sebelum vaksinasi dipercepatkan.

“Saya harap perkara ini dapat difahamkan kerana kita tidak boleh terus menerus menukar polisi dan kerja kita, terpulang kepada MKN kerana mereka yang tentukan berapa banyak polisi, sektor dan sebagainya,” ujarnya.

Kata Amirudin lagi, kesemua proses penutupan dan pembukaan sektor ekonomi terletak dibawah bidang kuasa MKN.

“Sebab itu ada had tertentu untuk membuka dan sebagainya kerana ia ditetapkan oleh MKN kecuali jika di dalam prosedur operasi standard (SOP) memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai contoh pelaksanaan aktiviti e-hailing, itu memang dalam SOP terpulang pada PBT unutk tetapkan waktu tapi untuk lain-lain seperti kilang, sektor keperluan itu semua adalah keputusan yang harus ditetapkan oleh MKN,” katanya. – MalaysiaGazette