Lim Guan Eng. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 10 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak berani menyuruh Bank Negara mengarahkan industri perbankan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank kecuali kumpulan 20 yang teratas.

“Jika tidak, mana-mana Pelan Pemulihan Negara yang menawarkan bantuan kewangan, tidak akan bermakna dan sia-sia, yang bertujuan hanya untuk melindungi keuntungan bank dengan mengorbankan lapan juta individu dan syarikat Malaysia yang mengharapkan bantuan daripada moratorium pinjaman,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, dalam keadaan banyak syarikat mengalami kerugian namun beberapa bank masih mencatatkan keuntungan tertinggi bagi suku pertama tahun ini, menyambung keuntungan selepas cukai yang sihat sebanyak RM32.3 bilion dan lebih daripada RM23 bilion pada tahun 2019 dan 2020.

“Oleh sebab moratorium pinjaman tidak diklasifikasikan sebagai Pinjaman Tidak Berbayar, bank akan terus mencatat keuntungan yang sihat kerana mereka masih dapat memperoleh faedah terakru ketika 6 bulan moratorium pinjaman bank. Di samping itu, mereka tidak perlu mengecualikan faedah sewa beli tidak seperti moratorium pinjaman bank pertama tahun lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelantikan baharu Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan berkesan untuk mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan jika moratorium pinjaman bank adalah tanpa faedah dibenarkan.

Guan Eng berkata, tidak ada gunanya kerajaan memberikan moratorium pinjaman bank selama enam bulan jika peminjam masih perlu membayar faedah terakru yang lebih tinggi kepada bank.

“Kos pinjaman keseluruhan yang lebih tinggi bagi mereka yang memilih moratorium pinjaman bank telah dinyatakan dengan jelas oleh Bank Negara.

“Bank Negara memberi amaran kepada peminjam bahawa walaupun bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau faedah penalti semasa pembayaran ditangguhkan, faedah masih akan terakru terhadap penangguhan pembayaran. Dengan kata lain, faedah akan dikenakan ke atas pinjaman pokok selama enam bulan moratorium pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu mempersoalkan bagaimana ia dapat membantu peminjam yang menghadapi pengurangan pendapatan jika bank yang tidak perlu menanggung sedikit potongan keuntungan atau menyumbang tanggungjawab sosial korporat dalam berkongsi masalah kewangan yang dihadapi oleh peminjam.

“Kerajaan dan Bank Negara perlu diingatkan bahawa masalah kewangan yang dihadapi oleh peminjam sekarang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan bukan kehendak mereka. Namun, peminjam diminta untuk menanggung semuanya sendiri walaupun pendapatan telah berkurang sementara bank masih dapat menikmati keuntungan besar seperti biasa,” ujarnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ya betul tu, skrg²nya bg la diskaun rm30 mcm yg apek bg dulu..smpai la ni duit tu x abis guna lg….hahahaha lu buat lawak tul la apek..nape lu x suh jual jer banggunan komtar dgn rumah banglow lu termasuk terowong ajaib tu skali..

Comments are closed.