Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia, Datuk Ang Say Tee meminta kerajaan berlaku adil kepada semua pihak apabila membenarkan jualan pakaian dalam pasar raya dan juga pusat membeli-belah.

Say Tee berkata, pelbagai kedai pakaian telah meluahkan rasa tidak puas hati apabila pasar raya dibenarkan menjual pakaian, tetapi kedai baju dan butik lain dilarang berbuat demikian.

“Mereka mendapati bahagian pakaian dalam pasar raya besar sudah beroperasi kebelakangan ini dan berasa keadaan ini kurang adil.

“Kalau kerajaan mahu melarang, maka larangan itu harus menyeluruh dan saksama untuk semua,” katanya kepada China Press.

Say Tee berkata, ramai peniaga pakaian dijangka mengalami kerugian teruk kerana stok pakaian untuk Hari Raya Korban tidak boleh dijual.

“Banyak kedai pakaian telah tutup lebih sebulan dan mereka tidak boleh lagi bertahan sekiranya terus tidak dibenarkan berniaga,” katanya.

Menurutnya, peniaga sebelum ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara ketat termasuk melarang pelanggan mencuba pakaian.

“Kami akan terus mengemukakan permintaan kepada kerajaan supaya perniagaan pakaian dibenarkan secepat mungkin dan kami juga bersedia mematuhi SOP secara tegas,” katanya. – MalaysiaGazette