KUALA LUMPUR – Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bagi Jun 2021 merosot 5.09 peratus kepada 798,478 tan daripada 841,312 tan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Bagaimanapun, inventori minyak sawit diproses menokok 11.96 peratus bulan ke bulan kepada 815,179 tan daripada 728,099 tan, kata agensi itu dalam laporan prestasi industrinya bagi Jun.
Secara keseluruhan, stok minyak sawit meningkat 2.82 peratus kepada 1.61 juta tan daripada 1.57 juta tan sebelum ini.
Pengeluaran isirung sawit susut pula berkurangan 2.39 peratus kepada 374,248 tan daripada 383,423 tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran minyak isirung sawit mentah naik 11.30 peratus kepada 186,988 tan daripada 168,000 tan pada Mei.
Sementara itu, eksport minyak sawit menokok 11.84 peratus bulan ke bulan kepada 1.42 juta tan pada Jun daripada 1.27 juta tan dan eksport minyak isirung kelapa sawit menambah tujuh peratus bulan ke bulan kepada 76,327 tan daripada 71,330 tan pada bulan sebelumnya.
MPOB berkata, eksport oleokimia juga meningkat 4.82 peratus bulan ke bulan kepada 231,689 tan daripada 221,039 tan, manakala eksport biodiesel meningkat 101.47 peratus bulan ke bulan kepada 39,877 tan daripada 19,793 tan sebelum ini.
Katanya, import MSM kekal sifar selama dua bulan sejak Mei, manakala jumlah import minyak sawit meningkat 27.09 peratus kepada 113,126 tan daripada 89,014 tan pada bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette