Pemandu perkhidmatan e-hailing, Mahadi Mahbol, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan sebuah parti politik dan seorang pegawai khas kepada Perdana Menteri melalui aplikasi Facebook miliknya Oktober tahun lalu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, di sini, pagi ini atas kesalahan menghantar komunikasi jelik membabitkan sebuah parti politik dan seorang pegawai khas kepada Perdana Menteri melalui aplikasi Facebook miliknya pada Oktober tahun lalu.

Mahadi Mahbol, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhannya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Mengikut kertas pertuduhan, Mahadi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Mahadi Bin Mahbol’.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.10 petang 15 Oktober 2020.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Menteri, Putrajaya pada jam 5 petang pada hari yang sama.

Mahadi didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi yang mengendalikan pendakwaan kes berkenaan telah menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun peguambela yang mewakili tertuduh, Muhammad Azim Salih merayu mahkamah supaya satu nilai jaminan yang munasabah ditetapkan memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak dua tahun lepas.

Selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya dan juga peguambela tertuduh, Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Beliau kemudian menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Penyiasatan kes berkenaan ke atas pemandu e-hailing itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast