Mana-mana penerima vaksin Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam yang mengalami gejala Covid-19 dinasihatkan menjalani ujian saringan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mana-mana penerima vaksin Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam yang mengalami gejala Covid-19 dinasihatkan menjalani ujian saringan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, para penerima pada 9 sehingga 12 Julai ini harus memantau kesihatan masing-masing ekoran terdapat penularan kes positif dalam kalangan 204 petugas di PPV berkenaan.

“Isunya sekarang adalah untuk lakukan saringan sekiranya penerima ini bergejala, ini adalah perkara asas dalam menguruskan pandemik Covid-19.

“Kita akan lakukan perkara asas kepada PPV IDCC yang mana jika anda mengalami gejala yang konsisten dengan dengan Covid-19 selepas 9 Julai, maka mereka harus menjalani ujian saringan,” katanya dalam sidang media berkaitan penutupan PPV itu hari ini.

Dalam pada itu, Khairy  menasihatkan agar individu yang hadir ke PPV berkenaan pada Jumaat lalu bermula pukul 4 petang sehingga semalam perlu memantau gejala dan membuat kawalan kendiri dalam tempoh 10 hari.

Khairy juga berkata, pihaknya mendapati berkemungkinan pendedahan jangkitan kes Covid-19 di PPV IDCC berlaku pada tarikh berkenaan.

Malah beliau berkata, gejala Covid-19 berbeza dan individu jangan keliru dengan gejala yang dialami selepas menerima vaksinasi.

“Gejala berbeza selepas divaksinasi. Antara gejala Covid-19 ialah batuk serta hilang deria bau dan rasa. Mereka yang hadir ke pusat berkenaan pada hari berkenaan juga perlu melaksanakan kawalan kendiri selama 10 hari,” katanya lagi.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini memaklumkan seramai 204 daripada 453 petugas di PPV IDCC disahkan positif Covid-19 biar pun 88 peratus daripadanya telah divaksin.

PPV IDCC itu ditutup hari ini untuk kerja-kerja sanitasi oleh bomba dan akan dibuka semula esok. – MalaysiaGazette