KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencabar Tan Sri Annuar Musa membuktikan bila tarikh beliau bersama Datuk Johari Abdul dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melanggar SOP.
Mengulas ciapan Annuar menerusi Twitternya, Saifuddin tidak mahu menjawab gambar yang ditular itu diambil bila tetapi mahu Ahli Parlimen Ketereh itu sendiri mengemukakannya.
Menurut bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, beliau hanya boleh kata, ia sudah lama mengenali Ahmad Zahid dan keluarga serta mempunyai banyak koleksi gambar bersama pemimpin itu.
Katanya, beliau bersahabat dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu hampir 30 tahun dan mengenali antara satu sama lain.
“Orang ramai boleh dapatkan kepastian daripada Annuar, sama ada gambar yang dia tular itu gambar baharu atau gambar lama. Jawapan ada dengan dia,” katanya mengulas Twitter Annuar yang menularkan gambarnya bersama Ahmad Zahid dan Johari Abdul.
Annuar menerusi Twitternya malam tadi telah menularkan tiga keping gambar dengan tajuk, “Makan sedulang memang sedap…Lebih-lebih lagi kalau dapat ‘dining’ di restoran musim PKP.
Dengan hantaran itu juga, beliau mendapat kecaman dan sindiran daripada netizen yang menyifatkan Annuar sebagai pendendam selepas dikenakan kompaun melanggar SOP PKP pada Ahad lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan itu mengakui telah membayar kompaun sebanyak RM2,000 kepada polis atas kesalahan menziarahi mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebagai dendam, beliau menularkan gambar Ahmad Zahid, Saifudddin dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari makan di sebuah restoran, kononnya tidak mematuhi SOP PKP.
Tiga gambar yang diviralkan itu mempunyai berlainan latar belakang dan pakaian, yang jelas menunjukkan gambar berkenaan diambil bukan dalam tempoh PKP 3.0. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Annuar kena sindir selepas tularkan gambar Zahid makan di restoran