KUALA LUMPUR – Purata gaji dan upah bulanan pada tahun lalu menurun 9.0 peratus, penurunan kali pertama kali sejak direkodkan mulai 2010 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Daripada 15 juta pekerja warganegara pada 2020, bilangan penerima gaji & upah adalah seramai 9.4 juta orang.

Laporan Survei Gaji & Upah ini memperihalkan nilai penengah dan purata gaji & upah bulanan serta bilangan penerima mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sepanjang tahun 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan serta pembatalan atau pembekuan pengambilan baharu dan seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga.

Selain itu, pelaksanaan langkah-langkah pengekangan penularan Covid-19 yang ketat dalam negara juga telah mengehadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlakunya pengurangan waktu bekerja.

Justeru, nilai purata gaji & upah bulanan yang diterima oleh warganegara Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai tahun 2010 iaitu dengan kadar negatif 9.0 peratus.

Setelah dua tahun berturut-turut merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020 (2019: RM3,224).

Mengikut aktiviti ekonomi, semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji & upah bulanan.

Tiga sektor mencatatkkan penurunan dua digit iaitu sektor pertanian (-20.0%), perlombongan dan pengkuarian (-17.7%) dan pembinaan (-10.4%) manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji & upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4 peratus dan 2.8 peratus.

Sementara itu, antara industri dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai bilangan penerima gaji & upah yang ramai adalah industri Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; dan penginapan & aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman.

Kedua-dua industri ini merekodkan penurunan dua digit dalam nilai purata gaji & upah bulanan masing-masing sebanyak negatif
14.9 peratus dan negatif 13.7 peratus.

Beliau berkata nilai purata gaji & upah bagi pekerja mahir adalah sebanyak RM4,619 (2019: RM5,072).

Dalam kategori pekerjaan mahir ini, pengurus menerima purata gaji & upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,479 diikuti oleh profesional
(RM5,301) dan juruteknik & profesional bersekutu (RM3,313).

Walau bagaimanapun, nilai purata yang diterima oleh pengurus mencatatkan penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya (2019: RM8,855).

Sementara itu, nilai purata bagi pekerja separuh mahir adalah sebanyak RM2,007 (2019: 2,206).

Mohd Uzir menambah, walaupun purata gaji & upah bulanan bagi kedua-dua strata bandar dan luar bandar menurun pada tahun 2020, nilai purata di bandar mencatatkan penurunan yang lebih besar iaitu sebanyak 9.3 peratus kepada RM3,089.

Sementara itu, nilai purata di kawasan luar bandar berkurang dengan kadar 5.5 peratus kepada RM2,086.

Mengikut negeri, purata gaji & upah bulanan tertinggi diterima oleh pekerja di Putrajaya (RM4,497).

Negeri-negeri lain yang juga mencatatkan nilai purata melebihi paras nasional adalah Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480),
Negeri Sembilan (RM3,013) dan W.P. Labuan (RM2,942).

Kesemua negeri merekodkan penurunan purata gaji & upah bulanan berbanding tahun 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast