ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor meluluskan cadangan bagi menambah 10 laluan baharu perkhidmatan bas percuma, Bas Muafakat Johor (BMJ), di sembilan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Solihan Badri berkata, cadangan yang diusulkan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) itu membabitkan kos berjumlah RM3.84 juta

Katanya, penambahan laluan baharu itu sekali gus menjadikan perkhidmatan bas percuma mempunyai 71 laluan di seluruh negeri yang membabitkan 16 PBT di Johor.

“Penambahan laluan meliputi KL003 (Terminal Kluang – Pekan Kahang), MU005 (Terminal Maharani – Simpang Jeram – Jorak), selain ME004 (Terminal Mersing – Endau) dan KT003 (Terminal Kota Tinggi – Tanjung Sedili).

“Selain itu, LB003 (Hentian Labis – Bekok – Pekan Chaah), SR004 (Renggam – Kluang) dan YP002 (Perhentian Bas Yong Peng – Taman Sri Wangi – Taman Kota Impian – Taman Berjaya – Perhentian Bas Yong Peng).

“Ia juga meliputi YP003 (Perhentian Bas Yong Peng – Kangkar Bahru), TK003 (Terminal Bas Tangkak – ILP Tangkak) dan PN003 (Terminal Bandar Pontian – Kukup – Tanjung Piai),” katanya dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, ia membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap penduduk negeri itu bagi memudahkan perjalanan mereka dan menjimatkan kos sara hidup.

“Sebelum cadangan laluan dibuat, PAJ sudah mengadakan perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta PBT, selain semakan laluan dan kajian juga dijalankan bagi mendapatkan pandangan penduduk terhadap kesesuaian laluan.

“Perancangan penetapan dan semakan laluan berdasarkan kriteria iaitu melalui kawasan berpenduduk yang tiada perkhidmatan sebelum ini dengan kepadatan penduduk tinggi serta melalui kawasan kemudahan awam, pejabat agensi kerajaan, sekolah, kawasan rekreasi dan lain-lain kawasan tumpuan.

“Ia mengambil kira keadaan infrastruktur sedia ada seperti kelebaran jalan, radius pusingan di persimpangan, kemudahan pondok bas sedia ada dan ‘lay-by’ di hentian pengangkutan awam serta mempunyai integrasi dengan perkhidmatan pengangkutan bas dan teksi atau kereta sewa sedia ada,” katanya.-Malaysiagazette