Penduduk, Badrun Kassim, 63, bercakap ekoran kerajaan tubuh RCI siasat Tabung Haji di PPR Beringin, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Keputusan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) disambut baik masyarakat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata orang ramai menganggap RCI merupakan langkah tepat untuk menyiasat kedudukan kewangan LTH.

Bagi Badrun Kassim, 63, siasatan ini merupakan langkah terbaik kerana kedudukan LTH melibatkan wang milik rakyat.

Justeru katanya, perlu dipastikan tidak ada berlaku penyelewengan di dalamnya.

“Memang kena buat siasatanlah jadi penubuhan RCI ini lebih baiklah kita tengok dulu macam mana perkembangannya. Kalau betul ada masalah penyelewengan harus ambil tindakan, semua ini duit rakyat, jadi kita mahu telus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk rekod, Jemaah Menteri selepas bermesyuarat semalam bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger pada tahun 2014 hingga 2020.

Antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH pada tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

RCI itu bagi menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

Dilaporkan, suruhanjaya itu akan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Penduduk, Mohd Faizul Fazlah Sharif, 38, bercakap ekoran kerajaan tubuh RCI siasat Tabung Haji di PPR Beringin, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JULAI 2021.

Dalam pada itu, Mohd Faizul Fazlah Sharif, 38 tahun berharap siasatan yang dilakukan terhadab LTH akan dijalan kan secara telus.

“Bagi pandangan saya situasi sekarang ini RCI akan siasat kewangan perihal Tabung Haji. Pada saya baiklah supaya kita tahu ke mana arah kewangan kita di dalam Tabung Haji.

“Tapi biarlah lebih telus, jangan salah gunakan RCI itu,” tambahnya.

Penduduk, Asim Yusof, 57, bercakap ekoran kerajaan tubuh RCI siasat Tabung Haji di PPR Beringin, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JULAI 2021.

Sementara itu, Asim Yusof, 57 pula berharap siasatan tidak akan berlanjutan lama kerana rakyat ingin mengetahui perkembangan dan status LTH dari masa ke semasa.

“Sesuailah RCI, saya nak cakap tidak tahu sangat. Okaylah. Siasatan ini setahunlah kalau boleh lagi cepat lagi bagus,” katanya.-MalaysiaGazette