Djokovic mengesahkan berita mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Tokyo kali ini semasa merakamkan ucapan ulang tahun kelahiran kepada kanak-kanak Jepun berusia enam tahun yang menjadi sahabatnya- Gambar agensi.

LONDON – Jaguh tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic akhirnya mengesahkan dirinya bakal berentap dalam temasya sukan terbesar dunia Olimpik 2020 di Tokyo yang membuka tirai pada 23 Julai ini.

Isnin lalu juara Wimbledon itu menyatakan dia kurang pasti untuk beraksi dalam temasya kali ini berikutan larangan penonton luar dan dalam negara hadir sepanjang temasya berkenaan berlangsung selain peraturan ketat Covid-19 yang perlu dipatuhi peserta.

Namun selepas berbincang dengan pasukan serta jurulatihnya dan selepas mengambil masa yang panjang mempertimbangkan segala perkara berbangkit sebelum membuat keputusan bersetuju untuk ‘terbang’ ke Jepun kali ini.

Malahan janji Djokovic yang tidak mahu mengecewakan peminat dan sahabatnya di Jepun turut mengubah pendirian jaguh sensasi itu.

Djokovic dijangka akan membawa bendera mewakili kontinjen Serbia semasa upacara pembukaan rasmi sukan itu nanti.

Bintang berusia 34 tahun itu mengumumkan keputusan menggembirakan semua peminatnya dalam media sosial dengan video ringkas ucapan hari kelahiran kepada peminat setianya yang berusia enam tahun, Koujirou Owaki dari Jepun.

“Selamat hari kelahiran tahun keenam kawanku, kamu kelihatan hebat.. saya mengikuti perkembangan sukan tenis kamu…selamat maju jaya.. saya berharap dapat bertemu kamu Olimpik Tokyo nanti.

“Saya tidak akan mengecewakan kamu sahabatku.. sudah menempah tiket penerbangan ke Tokyo dan dengan bangganya bersama kontinjen Serbia untuk Olimpik kali ini,” ciap Djokovic dengan tanda pagar dalam mesej khusus itu.

Kali ini Djokovic adalah pilihan emas di Jepun memandangkan seterusnya Rafael Nadal dan Roger Federer tidak akan mengambil bahagian dalam temasya kali ini termasuk jaguh lain Dominic Thiem dan Nick Kyrgios.

Isnin lalu Djokovic menegaskan peluang untuk beraksi dalam Olimpik adalah 50-50 kali ini berikutan larangan penonton luar dan juga protokol serta prosedur operasi standrd ketat Covid-19 di perkampungan sukan di Tokyo.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast