Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain
Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain

KUALA LUMPUR – Dianggarkan seramai 1,400 penduduk akan menerima kesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pangsapuri Merpati A, Pandan Indah sejak semalam.

Bagaimanapun, menurut Pegawai Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain, sebarang bentuk bantuan kepada penghuni dalam kawasan PKPD itu akan diselaras oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Pengumpulan sumbangan barang oleh pemimpin tempatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hendaklah diselaraskan melalui JPBD dengan tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat.

“Jabatan Penerangan akan menyiarkan hebahan arahan dan lain-lain yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa dalam tempoh PKPD berlangsung di kawasan Apartmen Merpati A,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

PKPD kawasan itu bermula tengan malam kelmarin sehingga 31 Julai depan.

Seramai 76 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 32 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditempatkan sepanjang tempoh itu.

Mengulas lanjut Najmuddin berkata pelaksanaan PKPD ini akan menggunapakai SOP PKPD di kawasan Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat, Selangor yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

Menurut SOP itu, hanya seorang sahaja wakil dari sebuah unit rumah sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian dan pengambilan barang makanan, malah penduduk tidak dibenarkan menerima pelawat.

“Penduduk tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan PKPD dan mereka tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

“Majikan diingatkan untuk mengambil maklum akan perintah ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan objektif PKPD yang dilaksanakan ini dapat dicapai sepenuhnya,” tambah Najmuddin lagi.

Untuk itu, sebuah klinik kesihatan sementara akan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kegunaan dan keperluan penduduk.

Tambah Najmuddin, klinik itu juga akan bertindak sebagai Pusat Penilaian Covid-19. – MalaysiaGazette