Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil inisitiaf dengan menyediakan tiga talian tambahan bagi permohonan Program Bakul Prihatin Negara.

Ini kerana jumlah permohonan tinggi diterima sejak ianya dibuka secara rasmi, kata menterinya, Datuk Seri Rina Harun.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 6,584 permohonan diterima melalui Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di 108 daerah seluruh negara.

Ia termasuk permohonan menerusi Talian Kasih dan aplikasi WhatsApp pihaknya.

“Kita banyak terima permohonan melalui Talian Kasih dan umum mengetahui, talian ini bukan sekadar menerima panggilan berhubung bakul makanan saja tetapi juga perkara lain berkaitan kementerian.

“Untuk itu kita ambil inisiatif sediakan tiga talian tambahan bagi memudahkan capaian permohonan iaitu 03-8323 2176, 03-8323 2177 dan 03-8323 2178.

“Kementerian juga telah menyediakan medium permohonan alternatif melalui penggunaan Google Form yang boleh dilayari menerusi talian WhatsApp 017-372 9702. Semua talian baharu ini mula beroperasi hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pemohon Bakul Prihatin Negara di sekitar flat Sri Selangor, Jalan San Peng hari ini.

Pada program itu, Rina mengunjungi enam pemohon Bakul Prihatin Negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan antaranya ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU).

Seramai 1,355 penerima bantuan itu sudah disantuni, membabitkan 4,467 isi rumah di Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor, Perlis, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor.

Kementerian mendapat sokongan dan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta korporat yang menyalurkan dana bagi program berkenaan bernilai RM16 juta. -MalaysiaGazette