Sebanyak 25 lokaliti baharu lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di tiga negeri melibatkan Sabah, Kelantan dan Pahang, berkuatkuasa 24 Julai hingga 6 Ogos ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 lokaliti baharu lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di tiga negeri melibatkan Sabah, Kelantan dan Pahang, berkuatkuasa 24 Julai hingga 6 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di beberapa lokaliti yang dikenal pasti itu.

“Antara tujuh lokaliti di Sabah ialah Kampung Pukak, Mukim Tengah dan PPR Gayang Ria, Mukim Berungis di Tuaran; Kampung Gumandang, Kudat; Kampung Lumatai Ulu, Beaufort serta Kampung Banting, Kampung Kawang dan Kampung Ulu Bole di Sipitang.

“Selain itu, sebanyak tiga lokaliti di Machang, Kelantan dikenakan PKPD melibatkan Kampung Joh, Kampung Maka dan Kampung Dewan Besar, Labok.

“Bagi PKPD di Pahang pula membabitkan 14 lokaliti di Temerloh, antaranya Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts, seluruh Kampung Padang Lalang, Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh Felda Lakum, Kampung Paya Keladan dan Taman Keladan Indah.

“Manakala satu lagi lokaliti dikenakan di Kompleks Penjara Bentong, Bentong termasuk kuarters,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, kerajaan juga akan melanjutkan PKPD melibatkan tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu membabitkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam.

“Ketiga-tiga lokaliti yang akan tamat PKPD pada 23 Julai ini akan dilanjutkan 14 hari lagi, bermula 24 Julai hingga 6 Ogos 2021,” katanya.

Selain itu, sebanyak lima lokaliti lain termasuk di Kedah dan Sabah yang sebelum ini menjalani PKPD sejak 10 Julai lalu pula akan ditamatkan mengikut jadual iaitu pada 23 Julai 2021.

“Antaranya Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah; Kampung Mangkubau Laut, Pitas; Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu; FELDA Umas 1, 3 & 4,
Kalabakan serta Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette