Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Fasa 2 Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) yang akan bermula 5 Ogos ini melibatkan 55,000 pekerja binaan masing-masing 30,000 dari Pulau Pinang dan 25,000 dari Johor.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga kini semua slot di Johor telah habis ditempah, manakala di Pulau Pinang pendaftaran masih diteruskan dan 22,800 slot telah diambil setakat ini sejakk dibuka pada 12 Julai lalu.

“Pemberian vaksin bagi Johor dan Pulau Pinang akan bermula pada 5 Ogos sehingga 15 September 2021.

“Sementara itu, pendaftaran Program CIVac juga dijadualkan dibuka di Pahang pada 25 Julai 2021 untuk 20,000 pekerja binaan, manakala di Sabah pula pendaftaran akan dibuka pada 31 Julai 2021 untuk 20,000 pekerja binaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Fadillah, sehingga 20 Julai lalu, seramai 24,106 pekerja iaitu 60.26 peratus daripada jumlah pekerja yang telah berdaftar dengan program CIVac, telah menerima dos pertama vaksin tersebut.

“CIVac Fasa 1 telah bermula sejak 1 Julai lalu di Kuala Lumpur dan Selangor dengan jumlah sasaran pemberian vaksin kepada 40,000 pekerja sektor pembinaan warga asing dan tempatan,” katanya.

Bagi menampung permintaan yang banyak, Kementerian Kerja Raya sedang memohon peruntukan vaksin tambahan daripada the Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) untuk 300,000 pekerja binaan.

“Ini termasuk vaksin tambahan untuk 65,000 pekerja binaan di Kuala Lumpur dan 30,000 di Selangor.

“Penambahan kuota vaksin akan terus dipohon berdasarkan permintaan semasa oleh industri pembinaan.

“CIDB juga akan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak sekiranya terdapat
permintaan untuk kemudahan tersebut,” katanya.

CIVac merupakan program vaksinasi Covid-19 untuk pekerja di dalam industri pembinaan usaha daripada CIDB Malaysia yang diterajui Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di kalangan barisan hadapan ekonomi bagi mengurangkan kluster jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

CIVac bertujuan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui kerjasama kerajaan-swasta menerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang dipengerusikan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (MOH). – MalaysiaGazette