KUALA LUMPUR – Hospital Ampang sedang menyiasat dakwaan seorang waris kononnya barang peribadi milik arwah ayahnya hilang ketika mendapat rawatan di wad hospital berkenaan selepas dijangkiti Covid-19.
Pengarahnya, Dr Kasuadi Hussin berkata, pihaknya mengambil berat berhubung insiden itu dan sebarang perkembangan siasatan itu akan dimaklumkan kepada waris berkenaan dalam masa terdekat.
“Hospital ampang ingin merujuk kepada satu isu tular di media sosial pada 21 Julai 2021 berkenaan kehilangan barang peribadi pesakit di wad Hospital Ampang.
“Hospital Ampang mengambil berat tentang isu tersebut dan siasatan sedang dijalankan. Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak hospital secepat mungkin
“Hospital ampang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Segala kesulitan yang timbul berhubung perkara ini amatlah dikesali,” katanya dalam satu kenyataan dalam hantaran terbaru di Facebook rasmi milik Hospital Ampang, hari ini.
Semalam, seorang netizen bernama Tira Sahar menciap di akaun Twitter mendakwa dia hanya mendapat telefon bimbit sahaja ketika menuntut barang peribadi milik arwah ayahnya yang dirawat di wad Hospital Ampang.
Sambil memuat naik foto arwah ayahnya sebelum dirawat dan telefon bimbit yang dituntutnya, Tira mendakwa beg galas dan kad pengenalan antara barang peribadi yang hilang di hospital berkenaan.
Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi membantu waris berkenaan.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Apa sudah jadi ni Dr Adham Baba? Bagaimana untuk bantu? Kementerian Kesihatan Malaysia dan Noor Hisham Abdullah,” ciapnya di laman Twitter, malam tadi. – MalaysiaGazette