KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mensasarkan lebih RM5 bilion peluang perniagaan dapat dijana menerusi Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia Ke-12 (IGEM 2021).

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  IGEM 2021 yang akan berlangsung enam bulan ini turut mensasarkan penyertaan 30,000 pengunjung dan 300 peserta pameran.

Jelasnya, waktu ini merupakan masa terbaik untuk berusaha menggandakan penerokaan potensi teknologi hijau.

“Kini adalah masa terbaik untuk menggandakan usaha menerokai potensi teknologi hijau khususnya dalam merajah perancangan hala tuju, dasar dan inisiatif baharu. Kita mesti bekerjasama secara strategik untuk melakar masa depan yang lebih mampan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan IGEM 2021 menerusi Facebook Live KASA.

Bertemakan ‘Pentakrifan Semula Kelestarian’, Tuan Ibrahim menyifatkan ianya tepat dan relevan untuk sentiasa dinamik dalam menilai impak tindakan menangani perubahan iklam yang sejajar dengan perkembangan inovasi dan teknologi terkini.

Katanya, persidangan kali ini turut membawa kelainan dengan menetapkan tema baharu setiap bulan.

“Pada bulan ini, IGEM bertemakan teknologi hijau sebagai permulaan, disusuli dengan tema air pada bulan Ogos.

“Seterusnya, pada bulan September, tema perubahan iklim dan alam sekitar, diikuti dengan tema kelestarian pada bulan Oktober.

“Tema pembiayaan hijau pada bulan November dan diakhiri dengan tema tenaga dan e-mobiliti pada bula Disember,”jelasnya.

Beliau berharap pendekatan baharu IGEM kali ini akan memberi lebih ruang kepada para peserta untuk meneroka peluang perniagaan dalam masa yang sama mencipta pasaran baharu sekaligus jalinan kerjasama yang lebih strategik.

“Tidak sekadar itu, IGEM juga menawarkan platform kepada semua peserta untuk menyertai lebih lima puluh agenda persidangan, webinar dan pameran.

”Kami turut menampilkan ramai peneraju industri dan pakar bidang di peringkat nasional dan antarabangsa yang akan berkongsi pengetahuan dalam segmen-segmen menarik seperti ekonomi kitaran, ekonomi hidrogen, kelestarian tenaga dan analisis data raya,” kata Tuan Ibrahim lagi.

IGEM 2021 akan berlangsung bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2021.

Beliau juga yakin persidangan ini akan memainkan peranan efektif dalam memenuhi mandat KASA sebagai peneraju agenda kelestarian dalam negara Malaysia untuk memacu pelan pembangunan rendah karbon dan pengurangan impak perubahan iklim.

“Selain itu, IGEM juga diharap akan bertindak sebagai platform yang akan mencetuskan inovasi baharu dalam merencana pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Untuk rekod, IGEM 2020 pada Oktober lalu telah berjaya menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM3.4 bilion, antara yang tertinggi sejak penganjurannya sepanjang 11 tahun.-MalaysiaGazette