Tuesday, March 19, 2024
Home Seni Hidup Dana RM17.8 juta untuk Palestin di bawah MyAqsa Defenders

Dana RM17.8 juta untuk Palestin di bawah MyAqsa Defenders

KUALA LUMPUR – Kenyataan MyAqsa Defenders (MAD) berjaya mengumpul dana berjumlah RM17.8 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia pada Mei lalu untuk disalurkan bagi tujuan kemanusiaan dan kebajikan rakyat Palestin kini kembali tular di media sosial.
MAD yang merupakan gabungan anak muda daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan dalam kenyataan itu memaklumkan dana itu akan disalur secara berperingkat dengan Fasa 1 adalah untuk Klinik Malaysia-Al-Aqsa, Khidmat Guaman di Sheikh Jarrah, Kafalah Keluarga Miskin di Baitul Maqdis dan Gaza Emergency Relief.
Kenyataan itu kembali tular selepas pendakwah Ustaz Ebit Lew dalam sidang semalam semalam meminta  Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengemukakan bagaimana duit sumbangan rakyat Malaysia diagihkan untuk penduduk di Palestin.

“Ramai maki saya dakwa saya bawa duit Malaysia ke sana, dalam Live Muhammad Nadir Al-Nuri sebelum ini dia pernah sebut beliau mengumpul duit sumbangan yang berjumlah RM20 juta, jadi soalan itu sebenarnya berbalik kepada beliau di mana duit itu?

“Saya yakin dengan NGO di sana, tetapi saya mahu balikkan soalan itu kepada dia, di mana sumbangan RM20 juta, ada resit ada bukti?” soal Ebit.

Kenyataan itu juga menyebut gabungan tersebut amat komited dengan agenda tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan program serta projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air.
“MAD mengadaptasi kerangka semak dan imbang dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran termasuklah mewujudkan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2030 yang menjadi kayu ukur kelestarian impak sosial kepada masyarakat penerima manfaat di Palestin,” menurut kenyataan itu.
Selain Cinta Gaza Malaysia, antara NGO lain di bawah gabungan itu ialah Global Peace Mission Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Al Azhar Care, Cinta Syria Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Cakna Palestin. – MalaysiaGazette