KUALA LUMPUR – Orang ramai untuk tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di dalam Internet kerana Kebanyakan produk itu dijual dari laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara.
Ia juga tidak tertakluk kepada akta di dalam Malaysia, kata kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) hari ini.
Sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut
mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama dan pengguna juga akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna dari platform berkenaan jika kualiti produk yang telah dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna.
“Justeru, sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai adalah digesa untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian. Sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi,” kata kenyataan yang sama.
Di samping itu, teliti juga syarat-syarat perkhidmatan dan polisi yang berkaitan dengan pembayaran balik dan pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform edagang, bagi melindungi diri daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini.- MalaysiaGazette