Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Langkah Bukit Aman yang menyerbu sebuah balai polis kerana mengadakan parti liar jelas menunjukkan integriti pasukan itu yang melaksanakan tugas tanpa mengira pangkat dan kuasa.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, tindakan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) itu membuktikan bahawa PDRM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak meskipun terhadap pegawai dan anggotanya sendiri.

“DPIM menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak PDRM yang bertindak tegas dan penuh integriti dalam melaksanakan serbuan ke atas sebuah balai polis yang menganjurkan pesta liar di dalam balai berkenaan.

“Serbuan daripada Jabatan Integriti Pematuhan Standard Bukit Aman, sebaik menerima maklumat dari orang awam menunjukkan integriti tinggi pihak PDRM dalam melaksanakan tugas tanpa mengira pangkat dan kuasa, termasuklah rakan mereka sendiri jika ternyata salah dan melanggar tatacara seorang anggota polis.

“Ternyata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan. Syabas diucapkan sekali lagi kepada pihak PDRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahir menzahirkan ucapan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bertindak tegas terhadap penyiasatan kes pecah amanah melibatkan seorang pemimpin muda.

Katanya, kes seumpama itu seharusnya menjadi contoh kepada pemimpin muda lain agar berintegriti dalam berpolitik dan menegakkan slogan “belia anti rasuah”.

“Imej politik anak muda sedikit tercalar dengan pertuduhan ini, namun ianya perlu dijadikan iktibar dan pedoman kepada pemimpin muda lain,” ujarnya.

Tambah beliau, SPRM juga perlu tegas dalam menangkis tohmahan dan tuduhan liar pemimpin politik “kluster mahkamah termuda” yang secara tidak langsung mengatakan SPRM sebagai alat politik kerajaan Perikatan Nasional.

“DPIM beranggapan, tohmahan dan tuduhan liar ini dilemparkan untuk menjatuhkan kredibiliti SPRM, walhal empunya badan perlu cermin diri sendiri apabila bercakap mengenai integriti. Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang,” tegasnya. – MalaysiaGazette