Bernas mengagihkan 3,000 kotak makanan dalam program ‘IKHLAS untuk Malaysia’.

KUALA LUMPUR – Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini terus memberikan impak ke atas pendapatan dan ekonomi penduduk.

Masyarakat pelbagai lapisan dan khususnya golongan rentan dilihat semakin terkesan akibat pelbagai kekangan yang wujud pada masa ini.

Atas dasar keprihatinan terhadap kesukaran yang dihadapi masyarakat, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melalui program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) baru-baru ini telah menggerakkan misi bantuan menerusi inisiatif ‘IKHLAS untuk Malaysia’.

Bagi melancarkan misi ini, Bernas telah memperuntukkan hampir 3,000 kotak makanan yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain.

Anggota kerja Bernas di seluruh negeri di Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak telah mula mengedarkan bantuan makanan tersebut kepada masyarakat setempat secara berperingkat melalui 33 buah lokasi pusat operasi.

IKHLAS untuk Malaysia merupakan sebahagian daripada pendekatan yang diambil syarikat dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di negara ini terus dipelihara.

Inisiatif ini diharap dapat meringgankan beban kumpulan masyarakat yang rata-ratanya terjejas punca pendapatan dan memerlukan sokongan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh perlaksanaan ‘lokckdown’ di seluruh negara.

Selaku organisasi korporat yang bertanggungjawab bagi menjamin kestabilan bekalan beras dan sekuriti makanan negara, BERNAS turut melihat inisiatif ini sebagai salah satu peluang untuk syarikat menyumbang semula kepada masyarakat seiring dengan matlamat berkongsi kemakmuran bersama penduduk secara lebih inklusif. – MalaysiaGazette