Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu disiarkan secara langsung kerana ia merupakan platform yang paling penting bagi membincangkan strategi-strategi untuk membawa negara keluar daripada cengkaman pandemik Covid-19.

Ketua Penyelaras, Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, penyiaran secara langsung memberi peluang kepada rakyat untuk mengikuti sendiri perkembangan yang akan memberi kesan kepada kehidupan dan masa depan mereka.

“Ini amat penting kerana hari ini berita-berita palsu dan berita-berita mengelirukan disebarkan secara meluas, oleh itu siaran secara langsung ini dapat mengelakkan perbincangan dan keputusan mesyuarat disalah tafsir.

“Sekiranya rakaman mesyuarat itu dibocorkan tanpa kebenaran maka ia tidak akan dapat diputar belit kerana rakyat boleh merujuk kepada rakaman asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya, rakyat dapat menilai prestasi dan sumbangan ahli-ahli mesyuarat sejauh mana mereka memainkan peranan untuk mencari penyelesaian kepada masalah rakyat atau sekadar bermain politik.

“REACH mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah menjadikan MPN inklusif dengan melibatkan parti-parti bukan kerajaan, NGO dan pakar-pakar.

“Kerajaan mesti memastikan setiap parti utama sama ada parti kerajaan atau parti bukan kerajaan mempunyai wakil mereka di dalam MPN.

“Pandangan rakyat biasa juga perlu diambil kira, justeru satu kaedah di mana mereka boleh memberikan pandangan, cadangan atau maklumbalas perlu diwujudkan.

“Ia mungkin berbentuk laman sesawang yang khusus. Bukan semua rakyat adalah ahli parti atau ahli NGO tetapi mereka juga ingin menyumbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette