KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula hari selama lima hari mencuri perhatian apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja hadir sebagai Menteri Kanan Pertahanan tetapi juga sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bera itu dilantik ke jawatan tu pada 7 Julai.
Ismail Sabri menjadi Ahli Parlimen sejak Mac 2004 dan beliau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat sepanjang 22 bulan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
Di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau memegang beberapa portfolio Kabinet di bawah pentadbiran yang diketuai Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antara portfolio tersebut termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Pertanian, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Belia dan Sukan.
Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula pukul 10 pagii.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persidangan selama lima hari itu juga akan menyaksikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberi penerangan mengenai tindakan menangani pandemik Covid-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijadual menerangkan berkenaan program vaksinasi.
Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menerangkan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi manakala Ismail Sabri dijadual memberi penerangan mengenai pelaksanaan darurat, pada akhir mesyuarat kelak.
Semasa sesi penerangan itu, Ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk meminta penjelasan dan mengemukakan pandangan sebelum menteri memberi jawapan berhubung isu yang dibangkitkan.
Sebanyak 12 dokumen merangkumi tiga Proklamasi Darurat dan sembilan Ordinan Darurat akan dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, mulai hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.
Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan Covid-19 serta memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL