Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjawab soalan pada Sidang Dewan Rakyat sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kiri) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI 22, OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamed mempertikaikan slogan kerajaan yang dikatakan prihatin namun tidak memberi vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat tidak lama lagi.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu mendakwa vaksin virus itu akan dijual pada harga RM350 kepada orang ramai dan mempertikaikan tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada hanya satu syarikat untuk mengimportnya.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, tindakan tersebut boleh menyebabkan berlakunya unsur monopoli ke atas bekalan vaksin.

“Sekatan diadakan terhadap import vaksin, sementara ramai orang mati, menghidap penyakit, ramai bunuh diri, kita duk kira macam mana nak dapat wang daripada jualan vaksin.

“Inikah kerajaan prihatin? Mana janji vaksin percuma?” soalnya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Dr. Mahathir menyifatkan kerajaan hari ini telah gagal untuk mengurangkan kes jangkitan virus Covid-19 walaupun terdapat pelbagai usaha dilakukan pentadbiran negara.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, sekiranya situasi yang berlaku di Malaysia terjadi di negara lain, kerajaan mereka sudah lama jatuh.

Malah tegas beliau, kepimpinan mereka akan meletakkan jawatan kerana gagal menyelesaikan situasi pandemik.

“Saya sudah letak jawatan dua kali, jadi apalah sangat hendak letak jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast