Sidang Khas Parlimen kecoh apabila Perdana Menteri tidak hadir di sesi petang
Sidang Khas Parlimen kecoh apabila Perdana Menteri tidak hadir di sesi petang

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli-ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan ketidakhadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi petang.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati apabila Muhyiddin gagal untuk hadir pada sesi itu dan menyerahkan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memberikan ucapan.

“Mana Perdana Menteri, Datuk Speaker?, teriak Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

“Mana Perdana Menteri, rakyat nak tahu di mana Perdana Menteri?, soal beliau lagi.

Bingkas bangun, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang memohon Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk masuk campur.

“Saya minta Speaker jemput Perdana Menteri untuk menjawab,” desak Steven Sim.

Lalu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tengku Zafrul tidak mempunyai kuasa untuk menjawab bagi pihak Perdana Menteri.

“Yang dibangkitkan ini adalah isu Covid-19 dan pemulihan dan harus dijawab oleh Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri.

“Ini prinsip menghormati Parlimen. Saya minta Speaker campur tangan kerana tidak ada kuasa Menteri Kewangan untuk campur tangan perkara ini.

Biarpun kekecohan ini, Tengku Zafrul turut meneruskan ucapan beliau bagi membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Desakan itu berlangsung selama lebih 10 minit.

Dalam pada itu, Azhar Azizan menggesa agar pembangkang memberikan laluan kepada Tengku Zafrul untuk memberi penerangan.

“Dengar dulu penjelasan Menteri Kewangan,” kata Azhar Azizan.

Anwar bingkas bangun dengan berkata; “Belum pernah dalam sejarah dewan ini sejak merdeka dan Parlimen diadakan, soalan mendesak kepada Perdana Menteri, soal Perlembagaan, Darurat dijawab oleh Menteri Kewangan.

“Belum pernah,” teriak Anwar.

Meleraikan pertelingkatan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangun untuk memberikan penjelasan.

“Tajuk yang kita bincangkan hari ini adalah Pelan Pemulihan Negara tapi yang bercakap soal darurat.

“Itu luar daripada tajuk yang dibincangkan. Kita bentang tajuk Pemulihan Negara.

“Jadi Menteri Kewangan adalah penyelaras Pelan Pemulihan Negara, jadi sebab itu dia jawab,” kata Ismail Sabri. – MalaysiaGazette