KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengambil tahu masalah yang berlaku di kawasannya di Pagoh.
Pengasas Parti Muda itu mendakwa ramai penduduk dari Pagoh yang datang ke pusat khidmat untuk meminta bantuan seperti bakul makan, tablet dan laptop.
Jelas Syed Saddiq, beliau tidak takut dengan dakwaan itu kerana memiliki senarai penerima bantuan.
“Perdana Menteri dalam ucapannya tadi berkata, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat rakyat menderita. Sejujurnya saya rasa beliau jarang turun padang sebab beliau tidak tahu masalah sebenarnya peringkat akar umbi.
“Tidak perlu tengok di peringkat nasional, kawasan parlimennya sendiri di Pagoh, ramai yang sanggup datang Pusat Khidmat Parlimen Muar minta tablet, laptop dan bakul makanan.
“Saya tidak takut untuk kongsikan senarai nama kerana senarai itu ada. Realiti pada hari ini sangat berbeza dengan yang digambarkan dalam ucapannya,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam ucapan pagi tadi, Muhyiddin menafikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpeluk tubuh dalam menangani penularan Covid-19.
Ketika sesi ucapan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam mesyuarat khas Parlimen hari ini, beliau berkata, kerajaan faham akan keadaan terkini rakyat mengenai kerana penularan pandemik dan cuba sehabis baik untuk mereka.
“Kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat,” jelas Muhyiddin.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh (Bersatu) itu, kerajaan sedang berusaha untuk mengatasi kemelut yang dihadapi rakyat mahu pun negara.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq juga membidas 38 ahli Parlimen UMNO kerana dilihat berani bersuara terhadap kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional dalam media sosial namun berdiam sepanjang Sidang Khas Parlimen bermula hari ini.
Beliau berkata, mereka seharusnya tidak takut dengan ugutan kerajaan dan terus melawan terhadap kegagalan kerajaan pada hari ini.
“Mana UMNO? Dalam media sosial pom pang cakap kerajaan cakap, tetapi dalam dewan sunyi. Jangan takut jika mereka ugut kita lawan.
“Kalau nak lawan, lawan betul-betul,” katanya. – MalaysiaGazette