Mohd Shuhaily.

GEORGE TOWN – Tiga penganggur ditahan bagi membantu siasatan kes tetak Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) di Taman Impian, Alma pada 23 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan di kawasan Seberang Perai pada Ahad lalu.

“Dua daripada suspek yang ditahan itu berusia 45 tahun manakala seorang lagi berusia 51 tahun.

“Setakat ini, kita sudah merakamkan keterangan 14 saksi bagi membantu siasatan kes tetak membabitkan seorang mangsa berusia 70 tahun.

“Apa yang boleh saya jelaskan di sini insiden itu tiada kaitan dengan gengsterisme dan saya tidak boleh menjurus ke arah jawatan yang dipegang mangsa kerana siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Ramachandran ditetak sekumpulan individu di kediamannya

MalaysiaGazette pada Sabtu lalu melaporkan Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mengesahkan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian menetak Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) di Taman Impian Alma.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Datuk M. Ramachandran, 70,  mengalami kecederaan pada leher, peha, belakang kepala serta badan akibat tetakan tersebut.

Difahamkan mangsa diserang sebaik turun dari kereta untuk memasuki kediamannya.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.15 malam yang memaklumkan seorang lelaki tempatan diserang dengan senjata tajam.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohammad Sobirin Yatim di talian 018 292 6844 bagi membantu siasatan.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujar Shafee. – MalaysiaGazette