Bung Moktar Radin mandatory Covid-19 vaccine
Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Wajibkan suntikan vaksin Covid-19 kepada semua rakyat Malaysia.

Itu cadangan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Sidang Khas Parlimen hari ini.

“Wajibkan vaksin, jadikan mandatori. Tak boleh ada yang mahu, ada yang tak mahu. Bahaya kita.

“Bila divaksin komuniti selamat. Di Amerika Syarikat, Rusia diaorang pergi rumah ke rumah (suntik vaksin) kita di sini payah pula. Kalau pergi kampung, pergi rumah ke rumah yang belum vaksin, baru kita selamat,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi.

Menurut Bung Moktar, Covid-19 merupakan wabak yang memusnahkan ekonomi dan kini ada yang terkesan sudah ada sanggup membunuh diri.

Terdahulu, Bung Moktar juga mencadangkan kerajaan menyediakan vaksin yang boleh disuntik satu dos sahaja bagi memudahkan urusan vaksinasi di kawasan pedalaman di Sabah.

Ini kerana sekiranya menggunakan vaksin yang memerlukan dua dos, kakitangan kesihatan terpaksa datang sekali lagi di kawasan pedalaman dan kadangkala ada risiko penduduk pula tidak hadir mendapatkannya.

Beliau juga menyetujui pandangan beberapa ahli Parlimen pembangkang mengenai soal perubahan lokasi penerimaan vaksin yang jauh daripada kawasan mereka tinggal.

Jadi beliau mahu urusan pendaftaran vaksin dibuat oleh setiap kerajaan negeri bagi mengelak perkara sedemikian berlaku.

“Kerajaan negeri boleh guna laman web masing-masing, kalau ini dapat dilakukan jangan rigid jangan semua tak boleh,” katanya.- MalaysiaGazette