Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Parlimen hari ini ditangguhkan buat kali ketiga yang mana puncanya masih tidak dapat dipastikan ekoran kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara tengah hari tadi.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sesi dewan akan bermula semula jam 5.15 petang.

“Mesyuarat ditempohkan sehingga 5.15 petang berdasarkan Peraturan Mesyuarat 12 (2),” katanya dan berlalu keluar dari Dewan Rakyat.

Mesyuarat hari ini ditangguhkan kali pertama sebelum berehat jam 1 petang juga oleh Rashid.

Ia ditangguhkan kali kedua oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan disambung pada jam 3.30 petang tadi.

Dalam pada itu, bangunan Parlimen hari ini ditutup untuk aktiviti keluar masuk ekoran kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa terdapat dua kakitangan Parlimen yang didapati positif Covid-19.

Oleh yang demikian Ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan meninggalkan Dewan Rakyat untuk sesi saringan.

“Kedua kes telah dipercayai berada di merata-rata tempat dan dipohon saringan kepada semua yang hadir di Parlimen.

“Saringan gejala akan dijalankan kepada semua termasuk semua Ahli-ahli Parlimen.

“Tiada siapa dibenarkan keluar daripada bangunan Parlimen sehingga keputusan diperolehi, ujian saringan akan dijalankan di pintu masuk blok utama,” katanya lagi.

Tambah Rashid, seorang kakitangan Parlimen didapati positif dan telah hadir pada 27 Julai lalu.

Seorang lagi didapati positif pada hari ini semasa saringan yang dibuat oleh Parlimen. – MalaysiaGazette