KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor mengingatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong dan berhenti mengheret baginda dalam krisis Perlembagaan.
Ingatan itu diberikan Pengarah Komunikasi Amanah negeri, Wan Anwar Wan Ibrahim, yang merujuk kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, mengenai isu pembatalan semua Ordinan Darurat.
Berdasarkan kenyataan itu, beliau berpandangan Perdana Menteri jelas merendah-rendahkan peranan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai seorang ketua negara yang menjalankan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah mustahil baginda langsung tidak memahami apa yang telah dihasratkan supaya semua Ordinan Darurat tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan.
“Malah, pendirian Pejabat Perdana Menteri bahawa Tuanku Agong tertakluk sepenuhnya untuk mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah jelas tersasar sama sekali dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Wan Anwar yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang (Kanun) Amanah menegaskan, di bawah prinsip Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hanya akan mengikut nasihat Jemaah Menteri selari dengan kehendak Perlembagaan.
Beliau melihat yang di-Pertuan Agong fahamakan peranan baginda di bawah Perlembagaan berbanding Jemaah Menteri yang keliru dengan tafsiran mereka sendiri.
“Saya turut bersedih apabila menyaksikan institusi Raja-raja Melayu terus direndah-rendahkan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“Sedangkan, kenyataan dikeluarkan Istana Negara semalam terkait isu pembatalan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat oleh kerajaan tanpa perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Saya melihat, jelas tindakan kerajaan ini bercanggah dengan Perkara 150 (2B) dan (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang mengambil serius rasa dukacita dizahirkan Yang di-Pertuan Agong dengan perkara itu,” katanya. – MalaysiaGazette