Dr. Wan Toren Wan Yusoff

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Terengganu mengajak semua ahli dan parti politik berganding bahu mencari jalan penyelesaian permasalahan yang menghimpit rakyat dan negara ketika ini.

Semua mereka seharusnya bersatu hati berjuang melawan pandemik Covid-19 yang melanda negara, bukan menambah atau membebankan lagi kesengsaraan rakyat.

Pengerusi Putra Terengganu, Dr. Wan Toren Wan Yusoff turut melahirkan rasa kesal dengan kekeliruan yang berlaku ketika Persidangan Khas Parlimen yang bermula Isnin lalu.

“Kekeliruan ini tercetus daripada pengumuman Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang telah memberikan kemudaratan kepada demokrasi berparlimen dan juga pendehakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ini disebabkan tindakan kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu tanpa perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), dalam berpolitik jangan sampai melangkaui peranan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Keluhuran Perlembagaan.

Katanya, berkhidmatlah untuk rakyat dengan ikhlas, jujur, telus dan berintergriti.

“Putra Terengganu merafak sembah akan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong agar dapat menyelesaikan segala kemelut politik yang seperti tidak berkesudahan ini untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Wan Toren mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong penuh Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali agar Perdana Menteri, Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Peguam Negara dan Jemaah Menteri meletak jawatan dengan kadar segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast