Muhammad Faiz Hashim

KUALA LUMPUR – Tidak masuk akal untuk menukar kerajaan yang ada ketika ini kepada pentadbiran atau pemerintahan baharu, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim.

Kata beliau, jika berlaku pertukaran kerajaan, bermakna UMNO tidak ada pilihan, melainkan terpaksa bekerjasama dengan DAP.

“Lagilah tak masuk akal. UMNO sesekali tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana agenda perjuangan parti masing-masing sudah cukup ketara berbeza.

“Kerajaan ini perlu dikekalkan, kerana belum sampai masanya lagi untuk diadakan PRU atas faktor pandemik Covid-19.

“Namun, yang terbaik ketika ini adalah Perdana Menteri berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada Timbalannya, Datuk Seri Ismail Sabri untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau yakin, Timbalan Perdana Menteri itu mampu membawa negara dan kerajaan ke arah yang lebih baik, di samping dapat menyelesaikan masalah Covid-19, ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Katanya, pengalamannya dalam Kabinet sejak 2008 dengan memegang pelbagai jawatan menteri meletakkan dirinya seorang pemimpin yang kreativiti dan ada kesungguhan itu.

Ini boleh dilihat menerusi kecemerlangan rekod kepimpinannya ketika mengemudikan beberapa kementerian penting seperti Belia dan Sukan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Pertanian dan Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertahanan.

Kata Muhammad Faiz, apabila kerajaan sudah mempunyai pengganti, kenapa perlu ditukar pentadbiran, lebih lagi majoriti rakyat belum bersedia keluar mengundi memandangkan apa yang utama pada mereka ketika ini ialah kelangsungan hidup.

“Dengan kes Covid-19 dan kematian yang meningkat, ekonomi negara semakin teruk, rakyat pula hidup tertekan dan sangat hati, tidak sesuai diadakan PRU,” katanya yang juga Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia. – MalaysiaGazette