Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

AKTIVITI rasuah boleh dibendung dan dibanteras dengan adanya kerjasama daripada setiap golongan masyarakat supaya tidak mewujudkan ruang serta peluang yang boleh mendorong seseorang itu terlibat dalam aktiviti rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Mesej mengenai rasuah yang disampaikan oleh Sultan Selangor jelas menggambarkan ketegasan baginda yang mahukan jenayah rasuah dibanteras sepenuhnya.

Ini dapat dilihat menerusi titah baginda yang begitu serius mengarahkan mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat Negeri Selangor akan ditarik balik jika didapati melakukan kesalahan rasuah.

Titah Sultan Selangor ini membawa maksud yang cukup jelas dan harus menjadi satu peringatan bukan sahaja kepada pegawai kerajaan negeri dan rakyat Negeri Selangor khususnya malah seluruh rakyat Malaysia amnya.

Peringatan yang disampaikan baginda ini juga harus membuka mata dan telinga pihak pimpinan negara bahawa aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh merosakkan masyarakat serta imej negara.

Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor terbabit dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri ini.

BACA: Sultan Sharafuddin dukacita beberapa pegawai di Selangor terlibat rasuah

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan negeri yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan baginda kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di negeri ini dapat dibanteras.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dalam kenyataannya semalam turut menyeru rakyat di negeri Selangor mengambil perhatian khusus terhadap titah Sultan Selangor ini.

Azam berkata demikian bagi memastikan perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Penghargaan baginda kepada pihak SPRM memperlihatkan keyakinan terhadap pengurusan agensi antirasuah ini melaksanakan siasatan dengan adil tanpa mengira sesiapa sahaja yang didapati terbabit dengan rasuah.

Baginda juga mahu SPRM terus menjalankan penyiasatan bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tidak terlepas daripada menerima hukuman dan ini memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kedaulatan undang-undang terus dimartabatkan.- MalaysiaGazette

Ketua Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Norhayati Rafida Abdul Rahim

Ketua Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Norhayati Rafida Abdul Rahim