Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – PKR hari ini menafikan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, laporan media yang berkata Anwar akan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tidak benar.

“Beberapa portal berita telah memetik sumber yang tidak dinamakan mendakwa bahawa Presiden PKR, Datuk Anwar Ibrahim akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Ini adalah berita tidak benar.

“Saya pohon kerjasama rakan-rakan media untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari sumber yang tepat sebelum menyiarkan berita untuk mengelak sebarang kekeliruan atau salah faham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ada media hari ini melaporkan kononnya Anwar dikatakan telah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghadap Tuanku hari ini.

Laporan memetik sumber itu berkata pertemuan itu diadakan di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Pahang.

Beberapa jam selepas itu, laporan daripada media sama berkata sumber rapat kepada Istana Negara hari ini menyifatkan maklumat berkaitan jemputan diberikan kepada Anwar untuk masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah tidak benar. – MalaysiaGazette