Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong membidas tindakan ahli Parlimen pembangkang yang mementingkan agenda peribadi berbanding fokus memerangi pandemik Covid-19.

Tong Keong berkata, Ahli Parlimen harus memanfaatkan ‘masa lapang’ ini mengagihkan bakul makanan yang diperuntukkan RM300,000 kepada mereka oleh kerajaan Perikatan Nasional demi kesejahteraan rakyat  kawasan masing-masing.

“Setiausaha Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada ahli Parlimen bahawa tiada sidang khas Parlimen pada hari ini, jadi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak patut pergi ke Dewan Rakyat dan berhimpun beramai-ramai.

“Sementara menunggu sidang Parlimen disambung semula, tugas utama ahli Parlimen adalah melawat ke kawasan masing-masing, memberi bantuan kepada mereka bukannya menjadi punca berlaku kacau-bilau.

“Keadaan penularan Covid-19 dalam negara kita semakin serius dengan peningkatan kes positif harian, semua pihak samada dari pihak kerajaan atau pihak pembangkang seharusnya mengetepikan perjuangan politik masing-masing dan memberi fokus kepada usaha memerangi wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, semua ahli politik harus memberi tumpuan berkaitan langkah pencegahan Covid-19 ketika ini berbanding agenda politik.

Jelas beliau, ahli Parlimen pembangkang juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dalam memerangi wabak ini.

“Bukankah mereka selalu mengatakan sistem perubatan negara kita akan lumpuh sekiranya kerajaan gagal memerangi Covid-19? Tetapi mereka memilih cara yang berkemungkinan besar akan memburukkan lagi keadaan Covid-19 dalam negara.

“Jangan biar rakyat yang mematuhi SOP menanggung padah disebabkan oleh mereka yang melanggarnya,” tegas Tong Keong. – MalaysiaGazette