Mustaffar Kamal Ab. Hamid

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Indera Mahkota menggesa semua pihak berhenti mempolitikkan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat.

Ketuanya, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, mereka juga diminta berhenti mengelirukan rakyat sebaliknya memberi penjelasan sebenar supaya perkara itu difahami.

“Isu Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat tidak boleh dipolitikkan kerana ia bukan berunsur politik,” katanya dipetik menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau yang menyokong kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa isu berhubung perkara itu tidak dijelaskan dalam konteks sebenar termasuk ulasan oleh Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran.

Beliau juga setuju terdapat beberapa ulasan yang dibuat dan disiarkan di media tempatan telah dimanipulasikan oleh pihak berkenaan demi kepentingan politik masing-masing.

“Sebagaimana kata Wan Rosdy, apa yang utama mengenai isu berkenaan adalah rakyat perlu diberikan kesedaran dan maklumat yang tepat.

“Usahlah bertindak mengelirukan rakyat dengan cuba berselindung pada Perkara 40 (1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan untuk mengatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“Berhentilah daripada terus menyebarkan maklumat tidak tepat dan membuat manipulasi berhubung isu Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat,” katanya.

Mustaffar Kamal turut meminta pihak berkenaan mengelakkan daripada melakukan tindakan yang boleh membawa kesan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan dan memberi impak negatif terhadap Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette