Dr. Mohd Mazri Yahya.

KUALA LUMPUR – Lajnah Kesihatan Pas Pusat merayu semua pihak termasuk pemimpin parti tidak mengheret Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kancah politik murahan mereka.

Sebaliknya, mereka sepatutnya memberi perhatian kepada setiap nasihat, cadangan dan pandangan dikemukakan KKM berkaitan dengan jangkitan virus Covid-19.

Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, mereka perlu ingat varian Delta yang diperangi KKM adalah lebih ganas dan cepat merebak.

“Maka, patuhi dan ikutilah nasihat KKM dengan mematuhi setiap SOP ditetapkan, semoga kita semua terpelihara.

“Sehingga kini lebih satu juta kes positif telah direkodkan dengan lebih 8,000 kes kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau kesal kerana jika berlaku penularan Covid-19, KKM yang bertungkus lumus menyedarkan masyarakat akan keseriusan pandemik tersebut.

Katanya, apabila mempertikaikan peranan vaksinasi, KKM yang menyedarkan masyarakat akan keperluannya dan sehingga kini hampir 70 peratus golongan dewasa telah mendaftar.

“Apabila sebahagian masyarakat menyebarkan maklumat palsu berkenaan penyumbatan saluran darah atau teori konspirasi nanochip akibat vaksin, KKM yang membetulkan maklumat salah itu dan sehingga kini ia diterima oleh semua melainkan golongan antivaksin.

“Apabila kes mula merebak di Labuan, KKM melipatgandakan usaha vaksinasi di sana sehingga melebihi 80 peratus, maka kes mendadak turun.

“Apabila kes tidak terkawal di Lembah Kelang, Operasi Lonjak dilaksanakan untuk mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus dalam minggu pertama Ogos. Kita percaya kes akan menurun dalam dua minggu selepas itu iaitu di akhir Ogos ini,” katanya.

Justeru, kata Mohd Mazri, apabila KKM melaporkan adanya varian delta dalam negara dan kemungkinan di Parlimen, beliau percaya ia adalah kebetulan dan akan mengakibatkan kita semua sekiranya kita bersikap ambil lewa.

Oleh itu, beliau menyeru masyarakat jangan disebabkan pendirian politik diri, mereka meremehkan perhatian berat KKM. – MalaysiaGazette