Mohd Said Adnan

KUALA LUMPUR – Penggunaan katil secara keseluruhan di Hospital Ampang kini sudah melebihi kapasiti 120 peratus sejak ia dijadikan hospital Covid-19 pada 23 Julai lalu.

Timbalan Pengarah (Pengurusan), Mohd Said Adnan bagaimanapun berkata, Hospital Ampang masih mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 setakat ini.

“Kita ada lebih kurang 600 pesakit Covid-19 setakat ini. Buat masa ini memang dihuni sepenuhnya dan kita sentiasa membuat perancangan, kita pun tak pasti berapa ramai lagi yang terkena Covid-19.

“Kita sentiasa berjaga-jaga dari serba-serbi. Apa yang boleh saya katakan di Hospital Ampang ini masih terkawal,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi utama Hospital Ampang, hari ini.

Terdahulu beliau menerima tujuh komputer riba daripada Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA), Datuk Hasry Sham Chasmen bagi penubuhan klinik visual yang akan diwujudkan dalam masa terdekat.

Awal bulan lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan empat langkah afirmatif yang akan dilaksanakan segera bagi mengatasi lonjakan jumlah pesakit Covid-19 tinggi di Lembah Klang, khususnya Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia berikutan penggunaan katil secara keseluruhan di hospital Lembah Klang kini sudah melebihi kapasiti 85 peratus.

Ditanya tentang kapasiti kontena untuk menyimpan mayat pesakit Covid-19, beliau berkata setakat ini masih mencukupi dan Hospital Ampang akan menerima satu lagi fasiliti itu daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Buat masa ini kita ada satu kontena dan alhamdulillah kita akan terima satu lagi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Saya rasa dia akan jadi dua kontena dan setakat ini mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette