Foto hiasan

KUANTAN – Masalah kewangan akibat kehilangan kerja sepanjang pandemik Covid-19 merupakan aduan tertinggi diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

Selain itu, aduan yang diterima termasuk keganasan rumah tangga, kesihatan dan hubungan suami isteri.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, seramai 611 individu direkodkan menggunakan khidmat kaunseling secara berkelompok dan komuniti di Pahang dalam tempoh setengah tahun ini.

Menurutnya, ramai yang menghadapi tekanan hingga sanggup melakukan tindakan yang tidak normal dan luar jangka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Justeru kita berusaha sedaya upaya  semua yang terjejas kembali produktif dan mencapai kesejahteraan psikologi yang optimum.

“Aduan paling tinggi direkodkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ialah aduan mengenai masalah kewangan dihadapi penduduk selepas kehilangan kerja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, JKM dengan kerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN) terus membantu memberi bantuan kewangan dan keperluan asas, termasuk bekalan bakul makanan kepada yang terjejas.

“Sehingga kini, JKM turut mengadakan 543 ujian psikologi termasuk 101 kali bengkel interaktif berhubung dengan perintah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Terdahulu pada tahun 2020, sebanyak 767 perkhidmatan kaunseling direkodkan kepada menerima aduan pelbagai isu, 968 ujian psikologi termasuk 143 bengkel interaktif.

“Bermotokan ‘Berkat Berjasa’ JKM sentiasa ingin membantu , justeru pihak JKM mengalu-alukan orang ramai yang ingin mendapatkan sesi kaunseling atau membuat aduan boleh menghubungi talian 09-5660226,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Jangan hantar bantuan bakul makanan sahaja, perlu ada wang tunai

Redzuan Yusof Serah Kit Makanan Skuad Prihatin

Dalam perkembangan lain, Zulkhairi berkata  sebanyak RM8.3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Pahang bagi Bantuan Prihatin Pahang 2021 bagi membantu golongan miskin tegar, warga emas serta OKU yang memerlukan.

“Ada yang dihantar rumah ke rumah, ada dibuat secara drive-thru atau terus bank-in asalkan mematuhi SOP PKP.

“Terima kasih semua barisan petugas JKM seluruh Pahang yang merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Pahang dalam penyampaian perkhidmatan kepada yang memerlukan dan bertahan bekerja dalam tekanan,” katanya. – MalaysiaGazette