KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat khas secara maya jam 4 petang esok.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat tergempar itu akan memberi fokus perbincangan berhubung isu politik terkini yang berlaku.
“Mesyuarat Khas MT UMNO secara online akan diadakan jam 4 petang esok 3 Ogos 2021. Tentu mesyuarat tergempar ini untuk membincangkan isu politik terkini.
“Antaranya hal kenyataan media Istana Negara dan warkah Yang di-Pertuan Agong. Juga isu darurat, ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen hari ini,” katanya.
Kali terakhir MT UMNO bermesyuarat pada 7 Julai lalu yang membuat ketetapan memutuskan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta. – MalaysiaGazette